Friday, October 10, 2008

Persaudaraan Dalam Islam



“Kita semua Melayu,Cina, India, orang Amerika, Orang putih, orang Asli dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan mak kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini biarlah. Jika tuan-tuan kata tok nenek kita bukan Adam dan Hawa, maka cuba beritahu saya. Jika tidak jumpa jawapan, maka terima dulu, terima hok ni dulu”.

(Nik Abd. Aziz Nik Mat. Ceramah Padang Perdana pada 20 Febuari 2008)


“Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah memperkembangkan biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.”

(Surah al-Nisa’ ayat 1)

Jika disandarkan kata-kata Tuan Guru Nik Abd. Aziz kepada surah al-Nisa’ seperti petikan di atas, dapatlah kita ertikan bahawa Allah mengajak umat Islam agar bersatu dan terus menghormati saudara-maranya walaupun dari kaum bangsa yang berbeza keturunannya. Kita semua berasal dari keturunan yang satu iaitu manusia ciptaan Allah yang pertama yang bernama Adam serta teman kesunyiannya di syurga yakni, Hawa dan baka asal kejadian kita adalah daripada tanah. Bermula awalan manusia inilah Allah mengembang biakkan zuriat manusia yang ramai di muka bumi ini. Jadi bertaburan manusia yang pelbagai lapisan kelompok adalah pada hakikatnya bermula dari kewujudan seorang manusia. Betapa Maha Suci Allah yang menjadikan manusia hidup di muka bumi ini tanpa putus-putus keturunan sejak diturunkan manusia pertama di dunia bersama pasangannya sehinggalah berakhirnya alam fana’ini. Manusia berkembang melalui masa yang panjang. Manusia bergerak bertebaran ke seluruh pelosok alam menjangkau faktor geografi, iklim, suasana tempat sehingga melahirkan pelbagai bangsa, rupa, warna kulit, budaya , bahasa dan agama. Semua itu membuktikan tanda-tanda kekuasaan Allah sebagaimana kalam-Nya:

Surah a-Rum:22

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, serta perbezaan bahasa dan warna kulit di kalangan kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar mengandungi hujah dan keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Di sinilah Islam menyedarkan kita bahawa kita betapa diikatkan dengan tali persaudaraan. Allah sendiri yang mengikat hati-hati manusia dari keturunan yang satu walaupun mereka berada beribu-ribu batu jauhnya antara satu sama lain serta berbeza hidup zaman berzaman. Menurut sebahagian dari ayat satu surah al- Nisa’ yang dipaparkan tadi, dapatlah kita fahami bahawa Islam bersifat global(a’alamiyah). Diingatkan bahawa Islam bukan hanya tertumpu dalam kelompok muslim sahaja tetapi Islam mempunyai hubungan yang lebih jauh daripada itu sebab itulah Islam bersifat universal yang merangkumi hubungan umat Islam sesama Islam dan hubungan Islam dengan orang bukan Islam. Jika Islam tidak bersifat a’alamiyah ,maka sudah pasti dakwah Islam tidak akan kesampaian kepada umat Muhammad yang hidup pada hari ini serta tiada usaha dakwah kepada non muslim yang kita sasarkan. Ini dapat dibuktikan bahawa permulaan dakwah Islam baginda Nabi Muhammad s.a.w adalah mengajak orang bukan Islam kepada megenal dan mengesakan Allah. Lantaran itu, Islam adalah agama persaudaraan sejagat maka baginda berpegang teguh kepada konsep ini dan ini bermakna dunia Islam telah membekalkan nikmat besar kepada umatnya di mana Islam telah diterjemahkan sebagai agama perpaduan, agama yang menjanjikan kedamaian dan persaudaraan. Di atas dasar inilah Islam mengatur hubungan mesra antara sesama manusia, hubungan baik di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Ketahuilah dan selamilah bahawa Allah menjadikan manusia yang pelbagai agama, jantina, warna kulit, bangsa, rupa dan keturunan bukanlah suatu agenda yang sia-sia tetapi adalah untuk mengajak manusia saling mengenali serta berkasih sayang sesama manusia dalam konteks hubungan kemanusiaan. Ini termaktub dalam kalam Allah yang cantik itu melalui surah al-Hujurat ayat 13.

Jelas ini menunjukkan Islam mengajarkan kepada ummatnya bahawa manusia perlu kepada taaruf (kenal-mengenali) untuk menghubungkan hati-hati persaudaraan sesama manusia agar kita saling dihormati, mampu menghakiskan sikap mencurigai antara satu sama lain dan memupuk rasa sayang-menyayangi.Sikap keakuan (ananiyah) atau berpuak-puak (a’sabiyyah), wajiblah dijauhi kerana ia mencetus perbalahan dan perpecahan sesama saudara yang lain sepertimana berlaku dalam sejarah pada zaman Arab Jahiliyyah yang mengagung-agungkan system kabilah sehingga mewujudkan kesan yang buruk. Kita dapati dalam situasi tersebut banyak berlakunya penindasan, kezaliman, kucar-kacir serta perbalahan yang melampaui batas norma-norma kemanusiaan. Tetapi, dengan kedatangan Islam yang suci telah memadamkan api perkauman dan permusuhan dan digantikan dengan jalinan persaudaraan yang menjamin keharmonian, keadilan, kesamarataan bahkan Islam menghormati agama anutan yang lain-lain.

Manusia yang dikurniakan pelbagai nikmat seperti kekayaan, takhta, pangkat, kebijaksanaan dan kemampuan yang luar biasa adalah tidak menjamin kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat bahkan tidak memberi apa-apa nilai di sisi Allah. Tetapi Allah memandang seseorang hamba-Nya adalah dengan taqwa yang ada padanya, itulah yang akan menjadi kita mulia di sisinya. Dasar taqwa yang tertanam dalam jiwa umat Islam inilah yang menjadi tunjang kepada kesatuan hati-hati persaudaraan sehinggakan mewujudkan hubungan yang era tantara satu sama lain. Dari titik tolak ini agama Islam menghormati agama anutan bangsa lain dan tidak ada unsur-unsur paksaan dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup kepada golongan non muslim. Umat islam perlu menjaga hati serta adat-adat dan budaya yang diamalkan oleh agama lain bagi mewujudkan hubungan mesra serta kedamaian antara satu sama lain. Ini penting dalam konteks metod dakwah agar matlamat dakwah tercapai.

Dalam membicara tentang persaudaraan dan perpaduan ini, wajarlah kita memandang situasi yang berlaku di sekeliling kita. Kita bukan hanya hidup dengan satu agama dan satu bangsa tetapi kita mempunyai hubungan dengan orang bukan Islam. Saya tinggalkan soalan untuk kita fikir bersama; apakah tanggapan kita terhadap golongan seumpama ini dan apa pula pandangan mereka terhadap diri kita yang mengaku sebagai orang Islam dan bangsa Melayu ini? Adakah di fikiran kita mempunyai satu perasaan curigai dan mindset bahawa golongan ini perlu kita jauhi serta memandang jelek terhadap mereka? Sebenarnya awal-awal lagi saya perkatakan dalam tulisan ini bahawa Islam adalah agama persaudaraan bukan permusuhan. Kita perlu menunjukkan akhlak yang mulia serta menjaga hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama. Tetapi boleh dikatakan menjadi isu terbesar hal-hal yang berkaitan dengan perkauman yang disogok oleh penjajah kerana sekarang ini kita dapati keharmonian dan keamanan di sekeliling kita sudah pun tergugat. Kiranya tidak diambil langkah-langkah menangani isu ini sudah pasti kesatuan umat Islam akan rapuh dan lemah maka dalam pada masa inilah orang-orang kafir akan mengambil kesempatan dengan mudah untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Jadi bagaimanakah kita dapat memecahkan tembok perkauman yang tebal ini sehinggakan isu ini menjadi dasar pejuang kebanyakan parti-parti politik kebangsaan. Mereka bergerak dari jalur-jalur kepuakan yang berasingan sehinggakan mencetuskan perbalahan serta berlumba-lumba menunjukkan mana yang terbaik antara mereka.

Di sinilah maka kita kena menginsafi dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah bahawa dengan dasar inilah yang akan menjamin kemaslahatan ummat islam seluruhnya bahkan kita tidak akan rugi apa-apa pun. Bagi memecahkan isu perkauman ini adalah bermula dari individu itu sendiri untuk memula langkah bagi mengatasi permasalahan umat di dunia ini. Hal ini tidak akan tercapai sekiranya pemimpin Islam tidak memainkan peranan yang penting dalam mencari titik persamaan untuk menangani perkara tersebut.

Islam agama persaudaraan. Alangkah baik dan manisnya kira kita dapat berganding bahu memikul agenda yang membawa kepada kemajuan, kebajikan serta kekuatan sesebuah Negara tanpa mengira bangsa dan agama. Namun begitu, lebih indahnya lagi kiranya kita dapat mengambil manfaat akan kelebihan serta keistimewaan yang dimiliki oleh bangsa lain tetapi beragama Islam untuk sama-sama menyumbang kebaikan dan kemaslahatn kepada sesebuah Negara. Bak kata-kata Menteri Besar Kelantan yang berbunyi begini:

“Orang Cina, saya sebut lebih cerdik dari orang Melayu. Kesihatan orang cina lebih tinggi dari orang Melayu, kekayaan orang Cina lebih tinggi dari orang Melayu. Orang yang begini kalau boleh bimbing Islam saya kata lebih baik.”

“Biar orang Cina (Islam) memimpin Islam di Malaysia ini, biar orang Melayu turut. Bagi saya tak apa. Bagi saya, orang Cina, orang Melayu adik-beradik semua, anak (Nabi) Adam semua. Tak ada dalam kepala saya Cina, Melayu. Saya jalan tengok Islam, masyarakat Cina , Melayu..Cina yang mempunyai pengalaman lebih banyak dari orang melayu, kesihatan yang lebih baik kekayaan dia lebih tinggi pengalaman dia lebih luas, cina muslimlah yang memimpin Islam”.

....Wallahu a'lam...


0 comments:

 

ebtisamsufi Copyright © 2008 Black Brown Art Template designed by Ipiet's Blogger Template