AKHLAK ANAK-ANAK PERLU DIBENTUK
Kesan pendidikan akhlak merupakan satu kayu ukur kepada kejayaan ibu bapa mendidik anak-anak. Jika akhlak anaknya baik, maka masyarakat akan menganggap bahawa dia telah berjaya mendidik dan membentuk anaknya. Sebaliknya, jika akhlak si anaknya itu bobrok, segala kesalahan dan kelemahan akan disasarkan kepada ibubapa yang dianggap gagal mendidik anak-anak. Senario ini berlaku kerana pendidikan akhlak memberikan kesan langsung kepada tingklah laku anak-anak yang boleh disaksikan oleh masyarakat.
Di sini dibincangkan beberapa akhlak yang asas untuk diserapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Pertamanya, anak-anak perlu dilatih untuk bersifat jujur dan benar. Mereka perlu memahami bahawa berbohong, tidak memberitahu perkara sebenar, menyembunyikan kesalahan adalah kesalahan-kesalahan besar. Mereka juga perlu diyakinkan bahawa orang yang berbohong adalah orang yang jahat dan tidak akan selamat. Mereka perlu diyakinkan bahawa Allah mengetahui segala apa yang berlaku dan dia sama sekali tidak boleh menipu Allah. Anak-anak perlu diingatkan tentang azab neraka dan siksaan pedih ke atas mereka yang berbohong. Di samping itu, anak-anak yang berani mengaku melakukan kesalahan perlulah dipuji dan dihargai. Sifat benar ini perlu dipupuk walaupun dalam sekecil-kecil perkara.
Selain itu, anak-anak perlu dilatih supaya menjadi seorang yang rajin, bersungguh-sungguh dan cekap melakukan sesuatu. Sejak kecil anak-anak perlu diajar menjadi seorang yang ringan tulang. Kerja-kerja asasi untuk keperluan sendiri seperti mengemas tempat tidur, membasuh pinggan, menyusun buku-buku sekolah dan lain-lain eloklah dilakukan sendiri oleh anak-anak. Kaedah jadual juga boleh dibuat bagi mendisiplinkan anak-anak dengan kerja-kerja rumah. Ringkasnya, anak-anak perlu sentiasa dilatih untuk rajin membantu dan mempunyai tanggungjawab untuk mencantikkan rumah.
Anak-anak juga perlu dididik agar menjaga tutur kata kerana ia merupakan satu manifestasi penting kepada kesempurnaan akhlak. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Cara perbicaraan, perkataan serta mauduknya amat penting diperhatikan oleh ibu bapa. Alangkah cantiknya jika si anak berbicara dengan sopan, manis dan petah. Ibu bapa juga perlu memantau cara anak-anak memanggil sesama adik-beradik, saudara mara dan kawan-kawan. Galakkan mereka menggunakan bahasa panggilan yang mesra dan sopan. Teguran yang segera dan berhemah perlu diberikan jika anak-anak menggunakan lidah mereka untuk mengeji, mengumpat dan memfitnah. Bahkan galakkan mereka menggunakan lidah untuk memperbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran . InsyaAllah dengan kaedah ini anak-anak akan lebih terdorong untuk membentuk peribadi mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.. Wallahu A’lam..
1 comments:
Salam..........
Artikel yang menarik dan amat berguna untuk menjadi ibu-bapa dan anak yang baik. Semuanya bergantung pada diri dan harus berpegang teguh pada ajaran islam.
Harapan agar artikel ini dapat menjadi panduan yang berguna kepada masyarakat seluruhnya.
Juga kepada penulis agar meneruskan usaha dakwah ini untuk dapat mendidik anak bangsa kearah kehidupan islam yang sebenarnya.
Post a Comment