Friday, October 10, 2008

Menangani isu politik dan konflik politik kepartian



Lebih 5 dekad kita berpolitik dengan menggunakan sistem demokrasi melalui pilihanraya. Kini, tibalah masanya kita menilai semula keberkesanan sistem demokrasi dalam pembentukan agenda umat Melayu-Islam di negara ini. Persoalan ini timbul kerana sistem demokrasi yang kita amalkan semakin mewujudkan golongan bertentangan sehingga berlakunya pertarungan yang merobek perpaduan umat Melayu-Islam. Kehancuran perpaduan umat Melayu-Islam bermakna kehancuran proses pembentukan bangsa Malaysia. Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat di antara satu sama lain kerana kita mempunyai pengalaman, tahap pendidikan dan kepentingan semasa yang berbeza tetapi biarlah pertarungan ini dalam ruang lingkup yang sihat iaitu bersifat mulia-bestari, beradab dan kondusif.

Pertarungan politik yang mengancam perpaduan diantara umat Melayu-Islam telah mewujudkan politik dendam akan memusnahkan kekuatan umat Melayu-Islam. Natijah daripada sikap pelampau dalam politik ini, umat Melayu-Islam sekarang bertindak dan berfikir dalam kerangka politik parti mereka. Fenomena ini sememangnya menjadi barah dikalangan pengikut bawahan.

Perkataan politik berasal daripada perkatan Greek iaitu polis bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Abdul Hamid al Ghazali mendefinisikan politik sebagai keahlian memerintah dan menjalankan negara; kekuatan dan kemampuan untuk meraih tujuan politik. Dalam konteks moden, politik boleh dimaknakan sebagai suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbir oleh sesebuah pertubuhan politik. Sebenarnya, umat Melayu-Islam baru sahaja mengenali politik bercorak institusional yang berkiblatkan Barat dengan penubuhan pertubuhan bercorak politik seperti Kesatuan Melayu Muda, Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan UMNO. Selama ini umat Melayu-Islam telah terbiasa dengan sistem politik naungan yang bergantung harap kepada kepimpinan personal.

Hadirnya sistem demokrasi berpilihanraya di Tanah Melayu menyebabkan munculnya parti politik seperti PAS dan UMNO yang cukup berpengaruh dalam masyarakat Melayu-Islam. Pertembungan kedua-dua parti Melayu-Islam ini seringkali tidak terkendali sehingga mewujudkan suasana permusuhan di kalangan pendukung kedua-dua parti. Api permusuhan ini semakin marak sehingga isu yang memerlukan kebersamaan sukar dijalinkan kesepakatan. Akibatnya umat Melayu-Islam sendiri akan menanggung kerugian dan ia akan menguntungkan pihak lain yang berkepentingan.

Permusuhan ini disebabkan oleh perebutan kuasa pemerintahan sehingga kedua-dua pihak gagal melihat perbezaan diantara kepentingan politik dan kepentingan politik kepartaian. Berparti bermakna kita berpolitik tetapi berpolitik tidak bermakna kita berparti. Kita boleh melihat insan berjalur bebas seperti aktivis mahasiswa sosialis, Hishamuddin Rais yang memperjuangkan hak kemanusiaan dan keadilan berdasarkan fahaman sosialis beliau tanpa parti. Iman as syahid Hasan al Banna menyifatkan politik tanpa parti adalah politik mutlak dimana ia melihat hal ehwal dalaman umat dan luarannya tanpa mengaitkan dengan kepartaian. Oleh sebab itu, isu-isu seperti isu Anwar, isu hudud dan tahanan ISA perlu dilihat dalam konteks pemaknaan politik yang lebih luas melepasi sempadan parti politik. Isu-isu tersebut melibatkan persoalan hak asasi manusia dan Islami.

Terasa teramat malang jika kita meneropong suasana politik mahasiswa Melayu di kampus-kampus nasional yang turut terkena tempias politik dendam dan diskriminatif. Suasana permusuhan yang dilebarkan oleh budaya politik kepartaian turut menggugat suasana keintelektualan di universiti yang selama ini dianggap neutral dan berautoriti sifatnya. Kader-kader parti mula bertarung dalam pilihanraya kampus dalam suasana yang tegang. Universiti yang dilihat sebagai taman keilmuan dan diharapkan melahirkan intelek-intelek ‘insan al kamil’ telah menjadi sarang menetaskan benih-benih perpecahan ummah.

Menurut Yusof al Qaradhawi dalam Fiqh Daulah, berbilang parti politik ini perlu berada dalam kerangka kesatuan akidah Islam dimana matlamat utama adalah menegakkan kekuasaan Ilahi tetapi perbezaan yang berlaku hanya pada persoalan pendekatan sahaja. Kekeliruan yang timbul apabila umat Melayu-Islam gagal memprofesionalkan perbezaan pendapat mereka dengan mengimport sistem berparti Barat tetapi bermentaliti dunia ketiga. Di Barat, mereka yang kalah dalam pilihanraya akur kehendak rakyat.

Umat Melayu Islam perlu berusaha menangani isu politik dan konflik politik kepartaian mereka sebaik mungkin agar agenda umat Melayu-Islam dapat dilaksanakan dalam suasana harmonis. Parti politik Melayu-Islam wajar mengislah diri dan masyarakat dengan proses political socialization [pembudayaan politik] yang sihat, bermoral dan Islami. Teringat pesan Pak Rendra, seniman Indonesia, “kita tidak boleh disatukan oleh masa lalu. Kita hanya boleh disatukan oleh masa depan”. Ini pengharapan tinggi kepada parti umat Melayu-Islam agar bersatu pada masa depan. Berpakatlah. Wallahu a'lam

1 comments:

earthsimulator on December 9, 2008 at 8:05 PM said...

sistem demokrasi dan sistem politik kepartian hanyalah semata-mata sistem yg dicipta Yahudi utk memecah belahkan bangsa-bangsa bukan Yahudi termasuk Islam.langsung tiada kebaikan dalam sistem ini.keburukannya telah kita nampak dgn jelas.hanya sistem khilafah dan sistem raja berkuasa mutlak adalah yang terbaik untuk dijadikan sistem pemerintahan sesebuah negara.jgn tertipu dgn sistem ciptaan Yahudi.wallahu'alam bissawab

 

ebtisamsufi Copyright © 2008 Black Brown Art Template designed by Ipiet's Blogger Template