Tuesday, October 7, 2008

KePenTinGan Dua KaLimAh sYahaDah




Kepentingan Dua Kalimah Syahadah

Menjadi peranan kita sebagai muslim untuk menyebarkan kepentingan kalimah syahadah agar benar-benar memahami konsep dan pratikal kalimah tauhid ini. Kadang-kadang kita tahu mengungkapkan bahawa Allah itu wajib diabdikan diri dan Muhammad itu mesti diikuti. Akan tetapi kita jarang sekali mahu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak menjadikan Nabi SAW sebagai sumber ikutan.

Kenapa Bersyahadah itu penting?

Tidak lain ia adalah pintu masuk ke dalam Islam. Hal ini kerana sah iman seseorang adalah dengan menyatakan syahadah. Kesempurnaan iman individu adalah bergantung kepada pemahaman kalimah syahadah. Ia membezakan antara muslim dengan kafir. Selain itu, dikatakan kalimah syahadah itu penting kerana ia merupakan intisari ajaran Islam, Hal ini kerana pemahaman seorang muslim terhadap Islam bergantung kepada pemahaman terhadap kalimah syahadah. Perkataan La ilaha illa Allah merupakan penerimaan perhambaan kepada Allah dengan melaksanakan aturan-aturan yang telah ditetapkan-Nya. Bagi pernyataan Muhammad Rasulullah pula bermaksud penerimaan cara penghambaan itu daripada Nabi Muhammad SAW. Baginda menjadi teladan dan ikutan dalam minhajillah. Dan pastinya, penghambaann kepada Allah ini meliputi seluruh aspek kehidupan . Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud “sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam.”

Kalimah syahadah ini penting bagi kita untuk fahaminya kerana ia adalah hakikat seruan para Rasul. Setiap Rasul bermula daripada Nabi Adam AS sehinggalah Muhammad SAW sentiasa mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Akhir sekali, kepentingan kalimah syahadah ialah dengan adanya kalimah tauhid dalam diri maka kita pastikan beroleh ganjaran di dunia mahupun di akhirat. Nabi pernah bersabda “ Allah SWT akan menghindarkan neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah Syahadah.” Kita bukan sahaja akan bahagia di dunia bahkan mendapat syurga Allah di akhirat. Melalui syahadahlah dapat membantu kita dalam menggapai kejayaan yang diidamkan bagi setiap insani. Jadi apabila kita telah mengetahui kepentingan syahadah ini, marilah kita sama-sama menghayatinya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari.

0 comments:

 

ebtisamsufi Copyright © 2008 Black Brown Art Template designed by Ipiet's Blogger Template